


Selamat Datang ke Blog Pusat Sumber Institut Perguruan Tawau Sabah...
Hari ini merupakan hari yang telah diisytiharkan sebagai Hari Buku Sedunia (HBS). Pada 23 April setiap tahun semua masyarakat menyambutnya. Sememangnya, masyarakat di negara-negara Barat tidak asing berkenaan dengan tarikh ini.Walau bagaimanapun, di Malaysia kemungkinan pada tarikh ini kurang diberi perhatian oleh generasi muda mahupun yang ‘veteran’ kerana budaya membaca di kalangan rakyat kita yang masih di tahap semaian berbanding dengan negara yang maju seperti Perancis, Jerman dan negara Eropah yang lain. Ramai yang tidak peka dengan peristiwa ini jika dibandingkan dengan 14 Februari yang dimeriahkan oleh pasangan sedang hangat bercinta iaitu Valentine Day.
Namun begitu, menurut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bahawa rakyat Malaysia hanya membaca 2 helai muka surat setahun harus diberi perhatian. Adakah benar kajian ini? Jika dilihat dari segi masa sekarang dapat dilihat bagaimana masyarakat Malaysia sudah mula membudayakan pembacaan dalam kehidupan seharian. Buktinya, setiap bulan April sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan, sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat Malaysia sehingga mencecah lebih sejuta pengunjung sepanjang pesta ini berlangsung. Di sini, terhimpunnya segala jenis ilmu dan maklumat melalui buku. Kesempatan itu juga, pengunjung dapat berkenalan dengan penulis kesayangan mereka. Sememangnya, penulis di Malaysia sudah mempunyai peminat mereka tersendiri. Ini membuktikan bahawa kajian yang dilakukan oleh PNM sudah tidak boleh digunapakai lagi. Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, masyarakat kita sudah mula semakin celik mengenai dunia pembacaan dan perbukuan dalam kehidupan.
Kemajuan teknologi melalui blog misalnya, telah memberi satu lembaran baru kepada peminat buku dengan menjadikan ruangan ini sebagai satu medan dan pusat perhimpunan untuk berkongsi maklumat dengan golongan yang mempunyai kegemaran yang sama. Melaluinya, perkenalan secara maya ini mencambahkan perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara satu sama lain sehingga mewujudkan satu komuniti mereka tersendiri sebagaimana Malaysia@Goodreads. Setiap isi buku didedahkan melalui resensi di blog masing-masing. Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui daya tarikan sesebuah buku itu seolah-olah ruangan ini dijadikan sebagai gelanggang mempromosi atau pencetus minat kepada individu yang belum membedahi isi buku tersebut agar turut sama-sama menghayatinya.
Maka, media adalah wahana yang terbaik untuk menyebarkan dan memeriahkan sambutan 23 April di negara kita. Mungkin ada yang masih tidak tahu dengan sambutan ini kerana kurangnya pendedahan oleh media berbanding sambutan lain. Sehubungan itu, seiring dengan kemeriahan PBAKL09 yang sedang berlangsung kini, SELAMAT HARI BUKU SEDUNIA untuk semua warga Malaysia dan semoga indeks pembacaan rakyat semakin meningkat setiap tahun seiring dengan rakan-rakan kita di negara maju.
IBARAT lautan luas yang tidak berpenghujung untuk diteroka, begitulah juga lautan ilmu yang dimiliki oleh sebuah buku. Menerusi buku, kita diajak berkelana ke sebuah dimensi kehidupan dan pemikiran yang sepenuhnya berbeza. Buku juga menghidupkan semula tokoh-tokoh silam dan membina kembali tamadun lampau untuk dijelajahi.Begitulah hebatnya peranan sebuah buku yang diberikan sambutan khusus hari ini sebagai Hari Buku Sedunia. Sedikit mengenai latar belakang Hari Buku Sedunia, sambutannya setiap 23 April adalah bersempena mengingati penulis tersohor dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes. Kedua-dua mereka meninggal pada 23 April 1616. Shakespare juga dilahirkan pada 23 April 1564.
Bagaimanapun, sambutan hari buku dikatakan bermula lebih awal iaitu daripada tradisi masyarakat Catalan di Barcelona, Sepanyol yang meraikan Festival of the Rose. Pesta yang dikaitkan dengan pengorbanan kasih sayang itu menyaksikan pasangan kekasih bertukar sekuntum bunga mawar dengan sebuah buku.
Turut disambut pada tanggal yang sama seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ialah Hari Hak Cipta. Di kebanyakan negara seperti Jepun, India, China dan United Kingdom, Hari Buku Sedunia adalah sambutan yang dinanti-nantikan oleh masyarakatnya. Ia merupakan hari untuk khalayak pembaca memberi penghormatan tertinggi kepada pemikiran yang diterjemahkan menerusi penulisan buku.
Mengambil contoh negara jiran Indonesia, Hari Buku Sedunia tidak pernah dibiarkan berlalu dengan pengisian yang kosong. Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana masyarakat Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah komuniti dunia yang sangat mengagungkan buku. Kerana itu juga Indonesia tidak pernah sunyi daripada melahirkan buku-buku yang dianggap sebagai karya agung dan diperdebatkan dengan meluas oleh masyarakatnya.
Budaya mengagungkan buku di kalangan penduduk Indonesia juga menjadikan negara itu sebagai salah sebuah pusat penterjemahan buku terbesar selain India. Kebanyakan buku antarabangsa yang diiktiraf terbaik boleh didapati dengan mudah di negara berkenaan. Usaha penterjemahan yang sangat aktif itu membolehkan cabang ilmu dari seluruh dunia berkembang dengan pantas di Indonesia.
Keadaan agak berbeza di negara kita apabila amalan membaca dan membudayakan buku tidak begitu mendapat perhatian. Ia terbukti apabila tidak ramai di kalangan kita yang menyedari adanya sambutan Hari Buku Sedunia. Waima di kalangan mereka yang mengaku sebagai pencinta buku sekali pun. Bukan tiada usaha dilakukan untuk meraikannya, namun sokongan dan penglibatan daripada masyarakat agak hambar.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) misalnya, tidak pernah terkecuali menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemarakkan sambutan tersebut. Seperti yang berlangsung di PNM hari ini, Hari Buku Sedunia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kempen galakan membaca dan sebagainya.
Negara juga tidak pernah ketandusan penggiat yang boleh merancakkan industri penulisan dan penerbitan buku. Di kalangan penerbit misalnya, terdapat tidak kurang daripada 150 buah syarikat yang mengeluarkan buku secara aktif setiap tahun. Begitu juga dengan penulis berbakat yang saban tahun melahirkan buku-buku yang mencerminkan ketinggian pemikiran dan penguasaan kesusasteraan yang membanggakan.
Namun, disebabkan masyarakat kita agak asing dengan dunia buku, penulis berbakat besar itu hanya bersinar di dalam kelompok yang kecil sahaja. Tanpa perhatian dan penglibatan daripada orang ramai, keinginan penulis serta penerbit untuk menghasilkan buku turut terbantut. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha membudayakan masyarakat berilmu menerusi medium pembacaan.
Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan cabaran untuk mencapai hasrat menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul buku bagi setiap 1,000 penduduk.
Bagi mencapai hasrat itu, negara perlu menerbitkan kira-kira 26,000 judul buku. Ia merupakan pertambahan lebih tiga kali ganda daripada jumlah penerbitan buku yang berjumlah kira-kira 6,000 hingga 7,000 ketika ini.
Bagaimanapun kita perlu positif bahawa sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Di peringkat kerajaan dan swasta misalnya, usaha membudayakan masyarakat yang cintakan buku itu didokong oleh pelbagai agensi. Antaranya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (PPBM).
Turut terbabit secara langsung dalam usaha memperkayakan penerbitan buku ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang sehingga kini sudah menterjemahkan kira-kira 900 judul buku.
Sementelah aliran pembacaan di kalangan masyarakat juga menunjukkan peningkatan minat yang menggalakkan. Daripada pengamatan sewaktu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini, dapat disimpulkan bahawa kita sebenarnya tidak ketandusan masyarakat yang cintakan buku. Kerana itu juga PBAKL masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, iaitu pada tahun ke-28 usia penganjurannya.
Namun, dalam memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penerbitan buku, ia juga perlu seiring dengan usaha memberi makna kepada buku tersebut. Ilmu yang terkandung di dalam sebuah buku tidak membawa erti jika ia gagal menarik pembaca untuk menghargainya. Kerana itu juga, penggiat industri buku perlu seiring dengan perubahan minat dan selera pembaca hari ini.
Antaranya ialah usaha mengkomersialkan sesebuah buku. Pengkomersialan di sini bukanlah bermaksud kecenderungan untuk menerbitkan novel-novel remaja atau buku berunsur politik yang popular.
Tetapi bagaimana untuk memberikan nafas yang lebih segar kepada sebuah buku yang diterbitkan. Apa yang diperhatikan, kebanyakan buku yang diterbitkan seolah-olah bukan bertujuan untuk dipasarkan.
Tiada nilai-nilai popular dan komersial yang boleh menarik pembaca menjadikan buku tersebut sebagai koleksi peribadi. Keadaan itu lebih ketara di kalangan penerbit institusi pengajian tinggi (IPT) yang seperti mendokumenkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh saintis.
Lalu terhasillah buku dengan tajuk serta kupasan yang sangat berakademik dan terlalu berat untuk dibaca. Tidak dinafikan buku sebegini ditujukan kepada khalayak pembaca yang tertentu.
Namun itu tidak bermakna penerbitan buku akademik perlu bersifat akademik sepenuhnya. Barangkali penerbit di IPT boleh berkolaborasi dengan penulis kreatif dalam menjadikan buku akademik lebih komersial dengan sasaran pembaca yang lebih meluas.
Ia selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat mengikut perkara 4.7.5 iaitu : “ untuk menanam dan menggalakkan minat membaca”.
Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti.
Dasar ini juga menyahut cabaran dan menyokong matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat berasaskan budaya sains dan teknologi.
Bagi menentukan hala tuju program galakan membaca, urus setia jawatankuasa telah dibentuk dengan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai Urus Setia Jawatankuasa Gerakan Membaca Kebangsaan dan Perpustakaan Awam Negeri-negeri sebagai Urus Setia Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri.
Dasar Galakan Membaca
| Skop | |
| Objektif | |
| Strategi | |
| Pelaksanaan Program | |
| Pengemaskinian Dasar |
Daripada Laporan Kualiti Hidup Malaysia 2002 yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, kadar literasi sehingga tahun 2002 sebanyak adalah 93.8%. Menurut kajian tersebut, rakyat Malaysia membaca secara purata dua (2) buah buku setahun. Kajian itu juga mendapati jenis bahan yang diakses berbentuk bacaan ringan seperti surat khabar (79%), buku (52%), majalah (47%) dan komik (32%). Di antara sebab-sebab yang diberi mengapa tidak membaca ialah tidak berminat dan tidak mempunyai masa lapang.| Kadar Literasi | |
| Kadar Literasi: Perbandingan Antarabangsa | |
| Kebolehan Membaca dan Amalan Membaca | |
| Tabiat dan Minat Membaca Rakyat Malaysia |
Pelbagai program bagi menggalakkan aktiviti pembacaan telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Awam Negeri, Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan dan Swasta serta institusi-institusi berkaitan untuk menarik penyertaan masyarakat dalam aktiviti pembacaan bagi menyemarak dan menyuburkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Justeru program ini meliputi semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan keluarga.Memupuk Minat Membaca Dari Awal dan Selepas Kelahiran
Minat membaca boleh dipupuk dan disemai ketika bayi masih dalam kandungan. Peranan ibu dan bapa ketika ini amat penting bukan sahaja memberi perhatian dari aspek penjagaan kesihatan ibu dan anak tetapi juga memberi penekanan kepada mengenali angka, huruf, nombor dan perkataan. Pendedahan sejak awal ini akan mengembangkan kemahiran membaca individu ketika kanak-kanak dan berterusan ketika melalui alam persekolahan dan pendidikan. Minat membaca seterusnya akan berlanjutan apabila meniti usia dewasa. Oleh itu minat ke atas bahan-bahan bacaan dan ilmu serta membaca perlu dipupuk dan dibajai sejak dalam kandungan.
Sesuatu teks tidak bermakna jika tiada pembacanya. Pembaca adalah individu yang berinteraksi dengan teks atau bahan audio visual yang dibaca, ditonton, dilihat dan didengar. Pembaca yang aktif adalah pembaca yang bukan hanya tahu dan pandai membaca tetapi mampu memahami maksud yang terkandung di sebalik teks dan bahan audio visual yang dibaca, ditonton, dilihat dan didengar.
Ada beberapa jenis hubungan guru dan pelajar seperti yang berikut;
Adab Bersama Guru
Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru.
Blog Pusat Sumber IPTS Designed by EZwpthemes Converted to BLOGGER by BloggerThemes.Net | Reviewed by Blogger Templates